Train and Place Scheme (TPS)

Skim latihan dan penempatan yang dianjurkan oleh kementerian sumber manusia (KSMB) malaysia. Khas untuk lepasan IPTA/S, penganggur, pesara dan belia yang berminat

Memilih Kerja, bersedia menghadapi temuduga

Generasi muda jangan terlalu memilih, berusaha cari pengalaman

KERJAYA dengan gaji yang tinggi dan berstatus tetap adalah idaman setiap orang, khususnya kepada golongan muda lepasan Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Namun tidak selalunya impian kita menjadi nyata dan tidak berlaku seperti yang telah dirangka oleh kita.

Hakikat sebenar alam pekerjaan kini adalah terlalu sukar untuk diterjemahkan dan bukan saja di negara kita malah di seluruh dunia sedang mengalami masalah mencari kerja dan sistem pekerjaan yang semakin berubah.
Antara faktor yang selalu memeningkan kepala mereka yang sedang mencari kerja adalah persaingan mengisi jawatan kosong itu berserta pelbagai keperluan berkaitan dengannya, termasuk temu duga. Malangnya, bilangan graduan itu tidak setimpal dengan jumlah jawatan kosong.

Bayangkan setiap tahun negara kita mengeluarkan hampir 200,000 graduan berbanding kekosongan jawatan yang belum tentu akan ada. Mereka akan bersaing sesama sendiri untuk membuktikan siapakah yang terbaik mampu mengisi kekosongan tersebut.

Ini belum termasuk mereka yang bukan lepasan IPT dan mereka sudah berhenti kerja dan mencari kerja baru. Tentu memeningkan kerana terlalu banyak persaingan dan sebagai majikan sudah tentu mereka mahukan yang terbaik sebagai pekerja mereka.

Selain itu senario alam pekerjaan juga sudah berbeza yang mana kini kebanyakan majikan menawarkan pekerjaan berdasarkan komisen dan keuntungan bukan lagi gaji tetap dengan pelbagai imbuhan menarik seperti dulu.
Jika diteliti, ini satu kebaikan kepada golongan muda kerana ia secara tidak langsung membantu mereka lebih berusaha dan berkomunikasi dengan baik. Namun, tidak semua yang menyukai konsep pekerjaan sebegini.

INFO: Panduan persediaan menuju alam pekerjaan

1) Kenali potensi diri dengan mengenal pasti apa kelemahan dan apa kekuatan anda.

2) Sediakan diri anda secukupnya dan ketahui temu duga anda menerusi pendekatan yang berbeza dari sudut biografi, bakat, sikap dan situasi kerja.

3) Ketahui dan buat sedikit ulangkaji status temu duga itu dijalankan.

4) Ingatkan pengalaman adalah guru yang terbaik dan majikan lebih mengutamakan mereka yang berpengalaman.


Mereka yang tidak banyak memilih dan bersedia berdepan kemungkinan itu, cerahlah peluang bergelar pekerja. Tetapi berapa ramai yang sedemikian? Hakikatnya golongan muda terlalu memilih dan mahukan pekerjaan dengan gaji yang tinggi dan terjamin.

Menurut Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Rahmat Ismail, golongan muda tidak seharusnya memilih pekerjaan yang ditawarkan kepada mereka dan ambil sebagai pengalaman kerja.

Beliau berkata, mereka perlu membuka minda dan menerima kerjaya yang ditawarkan walaupun tidak seperti yang diidamkan dan jika mereka menolak untuk menerima ini adalah satu kerugian kepada mereka.

“Kebanyakan majikan memerlukan pengalaman kerja untuk jawatan yang menjadi idaman. Jika mereka baru keluar IPT dan mengharapkan kerja dengan gaji yang lumayan itu umpama sesuatu yang mustahil.

“Tapi jika mereka ada pengalaman kerja sebelum ini ataupun semasa di IPT mereka aktif dalam persatuan dan kerja kebajikan, saya percaya mereka akan dipertimbangkan untuk jawatan tersebut,” katanya kepada XY-Ikon Lelaki.
Beliau menyarankan graduan perlu aktif dan berusaha untuk mengumpul pengalaman dan membina keyakinan diri dalam berkomunikasi dan menguasai bahasa lain sebagai persedian menghadapi alam pekerjaan.

Apa kata mereka...

Noor Aishah Hamzah, 25

BAGI gadis ini, pengalaman mencari kerja sudah mematangkannya. Dan, kerana terlalu sukar mendapatkan pekerjaan membuatkan gadis ini mengambil keputusan untuk menyambung semula pelajarannya di IPT.

“Susah sangat dapat kerja dan kalau dapat pun gaji terlalu rendah... Macam mana nak hidup dalam kota besar dengan gaji sebegitu. Selain itu saya pernah kerja biasa saja kerana terlalu kecewa dengan sikap majikan yang sangat memilih.

“Saya sangat terasa hati dan sedih apabila kebanyakan majikan melihat kepada luaran semata-mata tanpa memberi peluang sebenar untuk saya membuktikan kemampuan saya dalam melaksanakan tugas,” katanya.

Dua tahun Aishah mencari pekerjaan dan hampir semua syarikat dikunjunginya dalam usaha mendapatkan pekerjaan namun hampa. Walaupun begitu gadis ini tidak mudah putus semangat dan tetap berusaha mendapatkan pekerjaan yang sebenar setaraf dengan kelayakannya.

Persiapan sebelum temu duga
# Buat kajian mengenai syarikat, perniagaan dan pekerjaan yang dipohon selain mengetahui serba sedikit mengenai perkembangan semasa dalam industri perniagaan.
# Berlatih untuk menjawab dengan jawapan yang sesuai.
# Semak kembali ‘resume’ anda.
# Buat pengesahan tempat, masa dan tarikh temu duga.
# Penampilan diri yang sesuai.
# Yakin dengan diri anda.
# Berkomunikasi dengan baik.
# Berdikari dan boleh dipercayai.
# Tepati masa.
# Belajar mengutamakan perkara yang penting.
# Menunjukkan inisiatif yang tinggi.
# Bersemangat dalam melaksanakan tugas.
# Pemikiran kreatif dan kritis.
# Terbuka menerima kritikan.
# Ubah Perasaan ‘Panik’ untuk temu duga kepada ‘Seronok’ untuk datang ke temu duga mulai sekarang.

Ariff Ghani, 26

Walaupun agak mudah mencari kerja berbanding rakannya, jejaka ini menyifatkan bukan nasib tetapi sikap cerewet yang menjadi faktor penolak bagi rakan-rakannya bertemu rezeki.

“Saya antara yang bernasib baik kerana selepas tamat pengajian di IPT saya mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan. Tapi biasalah, sebelum itu saya juga terpaksa bekerja biasa sekadar mencari pengalaman.

“Kasihan juga apabila melihat ada antara rakan yang hingga kini tidak mendapat pekerjaan sesuai dan ada juga yang terus menganggur. Kebanyakan mereka terlalu memilih dan tidak mahu berkorban sedikit untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Ariff juga menyatakan dalam mencari pekerjaan, individu itu harus lebih berani untuk lebih terampil dan berani mencuba kerana jika masih berada di takuk yang lama dan hanya selesa dengan apa yang mereka dan rakan-rakan peroleh, ia tidak mampu membakar semangat untuk meraih kejayaan.

Selamat berkerjaya daripada kami, Add facebook kami

sumber:Berita harian Online

0 comments:

Post a Comment