Train and Place Scheme (TPS)

Skim latihan dan penempatan yang dianjurkan oleh kementerian sumber manusia (KSMB) malaysia. Khas untuk lepasan IPTA/S, penganggur, pesara dan belia yang berminat

25,000 tunggu peluang pekerjaan

KOTA BHARU 15 Dis. - Seramai 25,000 pencari kerja yang mendaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja negeri ini masih menunggu peluang untuk memasuki pasaran kerja.

Mereka termasuk kira-kira 8,000 orang pemegang ijazah dan selebihnya yang memiliki diploma serta sijil.

Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan Negeri, Mohamad Yaacob berkata, pihaknya berusaha membantu mereka melalui beberapa pendekatan termasuk Program Penempatan Pekerjaan yang dimulakan pada 2001.


Keputusan OK, Pekerjaan TARAK



''Sehingga kini sudah lima kali program di peringkat negeri dan jajahan diadakan dan melaluinya, seramai 2,875 orang telah memperoleh pekerjaan,'' ujarnya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan program tersebut peringkat jajahan Pasir Mas di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian, Datuk Hanafi Mamat. Program itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Tenaga Kerja, Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Mas dan JobsMalaysia.

Mohamad berkata, jumlah pencari kerja yang mendaftar bertambah setiap bulan sehingga mendorong pihaknya mengadakan program itu yang dahulunya dikenali sebagai Karnival Kerjaya.

Katanya, soal kesukaran mendapatkan pekerjaan berpunca daripada sikap calon sendiri yang kebanyakannya terlalu memilih pekerjaan dan lokasi di samping lemah dalam bahasa Inggeris.

''Setiap program yang diadakan mendapat sambutan baik di kalangan lepasan sekolah dan sejak diperkenalkan, hampir 10,000 orang menghadirinya untuk mendapatkan maklumat lanjut.


''Namun hanya 20 peratus yang memperoleh pekerjaan kerana kebanyakan calon yang mengunjungi program layak dengan jawatan tetapi apabila ditawarkan, mereka menolak selepas mendapati lokasinya di luar negeri ini,'' katanya.


Dianggarkan hampir 3,000 mengunjungi program yang diadakan di sini hari ini dan mereka memenuhi ruang dewan mencari maklumat pekerjaan, menghadiri temu duga terbuka serta melawat kaunter perkhidmatan tatacara menghadiri temu duga.

Program hari ini bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang menawarkan sebanyak 1,310 peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Ia disertai 12 majikan daripada syarikat-syarikat tempatan dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Hanafi berharap calon mengambil berat soal pendekatan temu duga kerana ia juga sering menyebabkan mereka gagal.

''Saya agak terkejut kerana ada calon yang memperoleh ijazah kelas pertama pun gagal berkomunikasi secara mudah dalam bahasa Inggeris dan gagal menjawab soalan berhubung isu semasa yang sering dipaparkan di media,'' katanya.